Friday, February 1, 2008

Selamat Datang ke Blog Saintis Muda

Salam...

Januari 2008 hampir pergi, tapi saya masih tertangguh-tangguh azam baru 2008 untuk membina laman web yang boleh dikongsi sebagai pusat perbincangan ibubapa khasnya yang mempunyai anak-anak bersekolah rendah. Semoga hari ini merupakan titik tolak yang membuahkan hasil.

Tujuan utama saya ialah berkongsi idea bagaimana untuk memupuk anak-anak minat terhadap sains dan matematik pada tahap usia muda lagi. Saya ialah bapa kepada tiga cahayamata. Anak sulung saya sekarang berada dalam Tahun 1. Saya dapati minatnya memang cenderung ke arah sains dan matematik. Mungkin tidak salah sekiranya saya berkongsi maklumat melalui blog ini supaya kita sama-sama dapat manafaat di dunia dan akhirat.

Anda yang membaca blog ini berkemungkinan besar bekerjaya dan mempunyai sedikit 'quality time' dengan anak-anak. Masa yang singkat dan berkualiti inilah yang sepatutnya tidak kita persia-siakan. Rancanglah aktiviti-aktiviti yang berfaedah dan juga yang membina minda.

Semestinya anda mempunyai akses kepada komputer dan internet. Di dalam blog ini terdapat kertas-kertas kerja yang saya olah yang boleh di'download' untuk rujukan. Terdapat juga sedutan video ringkas sebagai alat bantu mengajar. Gunakanlah sebaik-baiknya.

Akhir kata, saya minta doa dari anda supaya semangat saya ini tidak luntur dek masa. Maklumlah, bukan senang mencuri masa mengemaskini blog...

Wassalam...

Tuesday, January 29, 2008

Perlukah Tuisyen untuk Anak?

Pendapat peribadi
  • Saya percaya tuisyen perlu jika ibubapa sibuk dan tidak sempat untuk membantu anak mentelaah pelajaran.
  • Saya percaya tuisyen boleh membantu anak-anak menjawab soalan-soalan peperiksaan dengan cemerlang.
  • Saya percaya tuisyen meyakinkan ibubapa yang mereka sudah melaksanakan tanggungjawab untuk memberi yang terbaik untuk anak mereka.

Persoalannya
  • Sibuk sangatkah kita sehingga tanggungjawab membantu anak mentelaah diberikan kepada orang lain?
  • Dengan skor dalam peperiksaan, adakah anak kita benar-benar faham apa yang dipelajari, bukan sekadar cemerlang menjawab peperiksaan?
  • Adakah benar kita sudah memberikan yang terbaik dengan menghantar anak-anak ke tuisyen? Mengapa pula bukan kita yang menjadi orang yang mengajar?
Saya tahu isu ini boleh menimbulkan perbalahan. Bagi saya, ibubapa seperti anda (yang boleh mengakses laman web ini) mempunyai ilmu yang cukup untuk menolong anak-anak membuat kerjarumah yang diberi.

Efektifkah Tuisyen?
Tahukah kita apa yang di'ajar' di kelas-kelas tuisyen? Tidakkah kita terfikir yang kelas-kelas tuisyen sebegini mempunyai 15-20 orang murid yang diajar dalam masa 1-1.5 jam? Pada saya, pembelajaran di sekolah lebih baik kalau dinilai dari segi masa. Jadi, apa sebenarnya yang di'ajar'? Mungkin soalan-soalan ramalan periksa, yang tidak lain hanyalah semata-mata untuk skor peperiksaan.

Tapi hal ini terpulanglah pada diri masing-masing. Kemampuan bukanlah diukur dengan wang ringgit sahaja. Kelapangan masa juga merupakan kemampuan.

Kita Mampu Melakukannya
Jika ditanya, saya lebih suka mengajar anak sendiri di rumah. Proses memahami sesuatu ilmu itu lebih penting daripada menghafal skema jawapan untuk periksa. Ini lebih ketara dalam bidang matematik dan sains. Pernah dengar Kumon? Modul tuisyen Kumon yang ada sekarang sebenarnya dikembangkan daripada apa yang diolah oleh Mr Turu Kumon untuk anak sulongnya yang bermasalah dalam matematik.

Kita juga pernah berada di bangku sekolah. Kita mungkin boleh ingat mengapa kita tidak faham sesuatu perkara ketika belajar dulu. Tapi sekarang, kita pasti tahu bagaimana nak memahami perkara tersebut. Sebagai contoh ketika di sekolah rendah, saya tidak tahu beza antara 2x3 dan 3x2 yang memberi jawapan yang sama iaitu 6. Apa yang saya ingat, cikgu suruh hafal sifir yang ada pada kulit buku latihan. Tapi sekarang, saya tahu untuk menjelaskan kepada anak saya yang 2x3 ialah 2 sets of 3 dan 3x2 ialah 3 sets of 2. Kalau nak lebih effektif, gunakan bantuan visual.

Anak-anak di sekolah rendah sangat cenderung untuk bertanya lebih lanjut dalam apa jua yang diajar. Kita juga seharusnya memantapkan diri dengan 'ilmu-ilmu tinggalan' (gelaran yang saya beri untuk ilmu yang kita perolehi pada zaman sekolah). Secara tidak langsung, ulangkaji untuk anak itu juga sedikit sebanyak memaksa kita untuk menimba tambahan ilmu.

Mari kita uji kepakaran kita...

Di antara berikut yang manakah serangga?
a) Ulat gonggok
b) Labah-labah
c) Kala jengking
d) Lipan bara
Apakah jawapan anda? Sebenarnya tidak ada satu pun dalam klasifikasi serangga...terkejut? Sila semak definisi serangga (insect) di http://en.wikipedia.org/wiki/Insect

Kesimpulan
Apa yang saya bangkitkan di sini hanyalah sekadar pendapat peribadi yang berdasarkan pengalaman saya dan juga pengalaman-pengalaman kenalan saya. Saya tidak pernah ke tuisyen berbayar (kerana dulu tidak mampu). Apa yang saya ingat, saya lebih suka tumpukan pelajaran di dalam kelas dan buat kerjarumah di sekolah ketika masa terluang.

Saya bukannya anti tuisyen. Saya juga percaya ada pusat-pusat tuisyen (terutama yang eksklusif) yang menitikberatkan pemahaman. Apa yang penting kita sebagai ibubapa seharusnya lebih mengambilberat dalam mendidik anak dan juga membantu mereka dalam pelajaran.

Sekian...